ANTARA dadah yang dirampas. FOTO PDRM.
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO PDRM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SIMPAN dadah di kondominium mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Itu modus operandi seorang lelaki yang dipercayai 'tokan' dadah yang giat mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun kegiatan lelaki berkenaan terbongkar selepas ditahan di Balakong, Selangor, kelmarin dalam operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan sepasukan anggota dan pegawai polis pada 10.40 malam.

"Siasatan ke atas suspek polis berjaya merampas dadah jenis methamphetamine. Suspek kemudian membawa polis ke sebuah kondominium.

"Pemeriksaan di unit kondominium itu menemui dadah jenis syabu seberat 2.4 kilogram (kg), serbuk methamphetamine seberat 760 gram dan 32 pil ekstasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah berkenaan daripada seorang lagi rakan lelakinya yang kini giat dikesan.

"Siasatan mendapati suspek akan mengedarkan dadah berkenaan di sekitar Lembah Klang.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 11 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:15 PM