TEO Kok Seong (kanan) melawat Hutan Lipur Jeram Tengkek Kuala Pilah yang terdapat kegiatan vandalisma membolehkan kerajaan negeri lakukan naik taraf untuk keselamatan dan keselesaan pengunjung. FOTO Mohd Amin Jalil
TEO Kok Seong (kanan) melawat Hutan Lipur Jeram Tengkek Kuala Pilah yang terdapat kegiatan vandalisma membolehkan kerajaan negeri lakukan naik taraf untuk keselamatan dan keselesaan pengunjung. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

KERAJAAN Negeri Sembilan akan menaik taraf Hutan Lipur Jeram Tengkek (HLJT) di Kuala Pilah bagi memastikan lokasi pelancongan itu terus kekal sebagai destinasi pilihan pengunjung untuk beriadah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, pihaknya mendapati terdapat kegiatan vandalisma di pusat riadah itu dan perlu dinaik taraf untuk keselesaandan keselamatan pengunjung.

Katanya, sebanyak RM500,000 diperuntukan bagi tujuan berkenaan membabitkan kerja naik taraf infrastruktur serta memperbaiki kerosakan laluan pejalan kaki yang rosak.

"Kerja naik taraf sudah dimulakan dan dijangka siap pada akhir Oktober nanti. Hutan lipur ini berpotensi untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan di bahagian timur Negeri Sembilan.

"Hutan lipur ini unik susulan mempunyai air terjun selain berdekatan dengan Bukit Baginda dan perkampungan Orang Asli.

"Bagaimanapun kita dapati terdapat kegiatan vandalisma yang menyebabkan beberapa kemudahan awam di sini, rosak dan perlu diperbaiki," katanya selepas melawat lokasi itu semalam.

Mengulas lanjut, Teo berkata berdasarkan rekod daripada Januari sehingga Jun lalu, seramai 8,000 orang mengunjungi hutan lipur berkenaan dengan dianggarkan sekitar 1,000 hingga 2,000 pengunjung datang ke HLJT dalam tempoh sebulan.

"Kami yakin selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini lebih ramai pengunjung akan datang ke HLJT untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang terdapat di situ.

"Bagaimanpun, pengunjung dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kebersihan di kawasan hutan lipur ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 5:40 PM