HUTAN Rekreasi Ulu Bendul (HRUB) kembali meriah selepas ditutup kerana sekatan PKP. FOTO Mohd Amin Jalil
HUTAN Rekreasi Ulu Bendul (HRUB) kembali meriah selepas ditutup kerana sekatan PKP. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

HUTAN Rekreasi Ulu Bendul (HRUB), Kuala Pilah kembali bernyawa apabila dikunjungi orang ramai untuk beriadah selepas tiga bulan ditutup susulan Covid-19.

Pengunjung bukan saja dalam kalangan penduduk setempat dan berhampiran, malah dari luar termasuk Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka dan Johor Bahru.

Bagaimanapun, pengunjung yang memasuki kawasan air terjun berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk mendaftarkan diri dan diambil suhu badan di pintu masuk utama.

Anggota keselamatan termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan memantau keadaan pengunjung untuk memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Siti Fatimah Zainol, 32, dari Damansara, Kuala Lumpur, berkata dia bersama lima ahli keluarga datang beriadah kerana suka kepada keindahan flora dan fauna di situ.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini adalah kali pertama kami sekeluarga pergi berkelah. Saya suka datang di sini kerana kawasannya bersih, udaranya sejuk serta keadaan flora dan fauna menarik.

"Malah, hutan lipur ini mudah dikunjungi kerana berhampiran dengan Seremban," katanya.

Rohaya Mohamed, 52, dari Tangkak, Johor, berkata dia bersama 10 ahli keluarga berkunjung ke hutan lipur itu semata-mata untuk menikmati kedinginan air terjun.

"Ini kali ketiga kami datang ke sini untuk berkelah bersama keluarga dan tempat ini menarik dan sesuai untuk beriadah kerana jauh daripada kesibukan kita selain mempunyai kemudahan untuk mandi," katanya.

Dianggarkan lebih 1,500 pengunjung datang ke HRUB sejak jam 8 pagi tadi termasuk ahli kelab motor berkuasa tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 7:14 PM