FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 37 mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun keadaan banjir beransur pulih, hari ini.

Kesemua mangsa dari dua kampung di Penampang dan satu di Putatan kini berada di PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, PPS Dewan Sri Serigai serta PPS Dewan Sri Keramat.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan berkata, setakat 5 petang tadi, mangsa yang berada di tiga PPS berkenaan membabitkan 10 lelaki, 12 wanita dan 15 kanak-kanak.

Menurutnya, semua mangsa berkenaan membabitkan 10 keluarga iaitu lapan di daerah Penampang dan dua keluarga di Putatan.

"Selain itu, pihak sekretariat merekodkan hanya 26 kawasan yang masih terjejas ekoran tanah runtuh dan banjir di daerah Penampang

"Kita turut merekodkan hanya dua kawasan yang masih dinaiki air di daerah Putatan," katanya.

Menurutnya, sekretariat juga merekodkan tiga kejadian tanah runtuh bagi daerah Kota Kinabalu.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan seramai 68 mangsa membabitkan 27 keluarga di Penampang dan Putatan dipindahkan ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:22 PM