GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Jumlah penduduk terjejas banjir membabitkan tujuh daerah di Sabah terus meningkat setakat 9 pagi hari ini.

Seramai 673 orang dari 194 keluarga kini ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kota Belud dan Tuaran.

Bilangan berkenaan bertambah berbanding 407 mangsa daripada 106 keluarga pada malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, Kota Belud mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai di negeri berkenaan setakat ini dengan jumlah 210 orang membabitkan 70 keluarga di lima PPS.

"Seramai 112 mangsa banjir dari 32 keluarga sudah dipindahkan ke tiga PPS sejak semalam, manakala 101 penduduk sekitar Kota Kinabalu yang terjejas banjir dari 18 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Likas dan Masjid Jamek Kota Kinabalu.

"Selain itu, antara daerah lain yang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi adalah daerah Beaufort serta Penampang dengan masing-masing terdapat 78 mangsa dari 28 keluarga serta 76 mangsa meliputi 19 keluarga.

"Antara daerah lain terjejas banjir adalah Paitan iaitu 73 penduduk membabitkan 22 keluarga dan Putatan seramai 23 orang dari lima keluarga," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap APM Sabah berkata, sehingga pagi ini, terdapat 186 kampung masih digenangi banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 10:07 AM