SKIM Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 Nov 2020, bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan sesuai secara percuma. FOTO BERNAMA
SKIM Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 Nov 2020, bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan sesuai secara percuma. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh lesen perniagaan percuma melalui Skim Wilayah Bebas Berniaga yang dijadualkan tamat akhir tahun ini, bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, buat masa ini, kerajaan akan meneruskan semua dasar pentadbiran terdahulu yang dilihat memberi manfaat kepada masyarakat selain akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

"Semua kerja baik yang sudah dibuat oleh rakan-rakan (Menteri Wilayah Persekutuan terdahulu) akan diteruskan, bila masanya sampai kita akan umumkan.

"Ada penambahbaikan yang DBKL akan umumkan dari semasa ke semasa, kita bukan sahaja akan beri peluang kepada mereka berniaga malah akan permudahkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tempoh inisiatif itu dipanjangkan lebih lama lagi bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 Nov tahun lepas, bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan sesuai secara percuma.

Terdahulu, Shahidan menyerahkan bantuan Bakul Makanan MyFood@Wilayah kepada penduduk kurang berkemampuan di Taman Desa di sini, membabitkan tiga kawasan perumahan iaitu Flat Sri Lempah, Teratak Muhibbah 1 dan Teratak Muhibbah 2.

Shahidan berkata, seramai 67,285 penerima daripada golongan kurang berkemampuan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sudah menerima manfaat daripada program bakul makanan itu dengan jumlah peruntukan lebih RM3.2 juta sejak dilaksanakan November tahun lalu.

"Inisiatif bakul makanan ini tidak hanya fokus kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awan (PA) sahaja malah diperluaskan kepada perumahan dan flat kos rendah swasta yang terkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:27 PM