GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Harga ayam standard di Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM8 sekilogram dalam masa terdekat, berbanding RM8.90 sekilogram pada masa kini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, paras harga itu dapat dilaksanakan selepas Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan sewa premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan itu.

"Kita akan turunkan harga ayam di Kuala Lumpur, sekarang ini daripada RM8.90 sekilogram ke RM8 sekilogram, caranya ialah kami akan memberi kelonggaran sewa kepada premis DBKL.

"Kalau sekiranya menurunkan sewa itu masih belum cukup, kita akan bagi percuma (sewa) kepada premis ini untuk bolehkan mereka turunkan harga ayam dan barangan lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kementerian Wilayah Persekutuan Sihat dan Hebat di sini hari ini.

Shahidan berkata harga ayam standard di Putrajaya juga akan diturunkan ke paras bawah RM8 sekilogram dalam masa dua minggu akan datang, berbanding RM8.50 sekilogram ketika ini.

Pada 21 Julai lalu, Shahidan mengumumkan ayam standard di semua pasar awam di Putrajaya dijual pada harga RM8.50 sekilogram bermula Ogos, lebih rendah daripada harga siling runcit RM9.40 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:23 PM