Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan semula penjaja tepi jalan di sekitar Pekan Sungai Besi ke Pusat Penjaja D'laman Rasa, Jalan Suasa 5 yang dijangka beroperasi Oktober ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya juga akan memberikan pengecualian bayaran sewa sehingga Disember dan pengurangan bayaran fi lesen sebanyak 50 peratus kepada peniaga berkenaan.

"Pusat penjaja yang mempunyai sejumlah 64 unit gerai itu menyediakan kemudahan seperti 'kitchen hood', tandas, surau, rumah sampah dan tempat letak kereta.

"Pusat penjaja ini menempatkan semula penjaja tepi jalan di sekitar Pekan Sungai Besi serta mereka yang beroperasi di hadapan sebuah pasaraya di sini,"katanya.

Terdahulu Shahidan menyampaikan replika kunci kepada penerima termasuk lapan lesen perniagaan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

Shahidan berkata, projek yang dimulakan pada 2016 dan siap sepenuhnya tahun ini, dijangka boleh beroperasi pada Oktober ini.

"DBKL menetapkan kadar sewaan kepada penjaja di antara RM240 hingga RM300 sebulan. Diharap dengan siapnya pusat penjaja yang baharu ini, dapat lah memberi keselesaan bukan sahaja kepada penjaja untuk berniaga tetapi juga kepada pengunjung.

"Penjaja juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan dalam lesen perniagaan dengan menjaga kebersihan dan memelihara harta benda premis perniagaan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Sukaty Ahmad, 50, melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang penerima di pusat penjaja berkenaan.

Katanya, sudah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan yong tau fu dengan membuka gerai di tepi jalan.

"Bersyukur sangat kerana dapat juga berniaga di premis yang lengkap dengan segala kemudahan ini kerana sudah lebih 20 tahun saya berniaga dengan membuka gerai berlesen di tepi jalan.

"Jadi dengan adanya pusat penjaja ini dapatlah membantu kami semua para peniaga yang selama ini beroperasi di tapak sementara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 9:44 PM
DATUK Seri Shahidan Kassim, (tengah) menyampaikan replika lesen kepada peniaga, Sukaty Ahmad (empat dari kanan) di Pusat Penjaja D’ Laman Rasa. FOTO AZHAR RAMLI
DATUK Seri Shahidan Kassim, (tengah) menyampaikan replika lesen kepada peniaga, Sukaty Ahmad (empat dari kanan) di Pusat Penjaja D’ Laman Rasa. FOTO AZHAR RAMLI