Akmal Zack (kiri) antara pemancing paling awal datang memancing di kolam Danau Kampai sebaik aktiviti memancing dibenarkan selepas negeri ini memasuki fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Akmal Zack (kiri) antara pemancing paling awal datang memancing di kolam Danau Kampai sebaik aktiviti memancing dibenarkan selepas negeri ini memasuki fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Hobi memancing ikan yang terhenti lama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan Jun lalu menyebabkan golongan kaki pancing terpaksa melupakan seketika aktiviti riadah itu.

Namun pembukaan semula kolam ikan sebaik negeri ini beralih ke fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, disambut girang.

Ini terbukti apabila kebanyakan kolam ikan berbayar di daerah ini dipenuhi oleh kaki pancing yang mencuba nasib selain menghilangkan kebosanan di rumah.

Pemancing tegar Akmal Zack Zul Ismail, 27, dari Kampung Petaseh Hilir berkata, dia sudah berada di pintu masuk kolam memancing Danau Kampai di Kampung Kampai di sini, seawal jam 8 pagi.

Ketika itu pengusaha kolam ikan berkenaan masih belum datang untuk membuka pintu pagar premis.

"Kebenaran memancing biarpun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard ( SOP) sangat menggembirakan kami yang memendam rindu sekian lama untuk meneruskan aktiviti ini.

"Hanya kaki pancing sahaja yang mengetahui kegembiraan melontar kail umpan ke kolam selepas tiga bulan 'terkurung' di rumah," katanya yang juga jurulatih jasmani Kem 508 Askar Wataniah, Seremban.

Menurutnya, lokasi sungai, kolam dan tasik antara destinasi memancing pilihannya termasuk sekitar pantai Port Dickson.

Minat sama turut dikongsi adik iparnya, Mohd Nurhaffiq Abd Rahim, 21 yang datang bersamanya memancing .

Pengusaha kolam memancing Danau Kampai, Mohd Faizal Abd Latif, 41 berkata, kebenaran memancing dalam fasa ke-3 ini memberi kelegaan kepadanya.

"Sebelum ini ada kaki pancing menyatakan hasrat untuk memancing ikan di sini. Namun saya tidak benarkan kerana bimbang dikenakan kompaun.

"Namun saya bersyukur apabila kolam pancing ini mula dipenuhi semula kaki pancing yang lengkap dua dos suntikan vaksin. Saya pastikan semua mereka mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:39 PM