Penternak udang yang mendakwa mengalami masalah memasarkan hasil ternakan berikutan PKP. FOTO ABNOR HAMIZAM
Penternak udang yang mendakwa mengalami masalah memasarkan hasil ternakan berikutan PKP. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Ramai pengusaha kolam ternakan udang galah untuk tujuan rekreasi bakal 'gulung tikar' apabila ternakan mereka gagal dijual susulan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lalu.

Salah seorang penternak Wong Put Long, 54 yang mengusahakan kolam ternakan udang galah sejak lebih 20 tahun di Kampung Renal di sini, mengakui perniagaannya terjejas teruk.

Menurutnya, tiada kebenaran beroperasi bagi pengusaha kolam pancing udang galah dan ikan antara punca pendapatannya merosot mendadak.

"Sebelum ini saya membekalkan udang galah untuk pengusaha kolam memancing namun udang galah diternak gagal dijual sejak larangan aktiviti rekreasi (memancing) ketika PKP 3.0

"Bagaimanapun saya masih perlu menampung kos selenggara kolam dan selain membeli makanan udang yang semakin mahal iaitu RM135 bagi setiap 25 kilogram.

"Sebahagian besar pasaran utama udang galah diternak adalah untuk kolam pancing dan sedikit sahaja dijual untuk orang ramai.

"Malah Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) menyukarkan orang ramai bergerak ke kolam ternakannya untuk membeli udang," katanya ketika menerima lawatan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK) Ulu Klawang Noraza Mohd Nor dan Ketua Daerah Perikanan Jelebu Mohd Azhar Jusoh.

Put Long mempunyai 13 kolam ternakan udang dengan enam kolam berisi dua tan udang galah sudah sedia untuk dipasarkan.

Katanya, dia bakal menanggung kerugian sehingga RM150,000 sekiranya udang berkenaan tidak dipasarkan.

Sementara itu Halimi berkata dia membuat lawatan bagi mengenal pasti masalah dihadapi ramai penternak udang galah.

Katanya, kebanyakan penternak mahu menjual udang berkenaan kepada orang ramai namun syarat Prosedur Operasi Standard ( SOP )menyukarkan usaha mereka untuk menjual hasil ternakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:28 PM