MOHD Faizal Harun. FOTO Ihsan Bomba
MOHD Faizal Harun. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat selepas memasuki kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Alor Yoi, Nai Teh, di sini, sejak awal pagi semalam, ditemukan selamat.

Mohd Faizal Harun, 37, yang juga mempunyai masalah mental itu dipercayai pulang ke rumahnya pada 11.08 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, lelaki itu ketika ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami luka-luka kecil pada badan.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 namun hasil keputusannya mendapati dia negatif.

"Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat dilakukan anggota bomba bersama penduduk kampung pada radius kira-kira 500 meter (m) dari kediamannya selepas kali terakhir dilihat keluar dari rumah berkenaan, jam 4.30 pagi semalam.

"Operasi pencarian menemui petunjuk berdasarkan penemuan pakaian yang dipercayai milik lelaki berkenaan berhampiran tali air pada jarak 200 m arah utara dari rumahnya dan operasi pencarian diteruskan 10.23 malam tadi," katanya.

Bagaimanapun, komander operasi menerima laporan yang lelaki itu pulang ke rumahnya pada jam 11.08 malam ketika operasi mencarinya sedang dilakukan.

Katanya, berikutan itu, operasi tamat sepenuhnya pada 12.30 tengah malam selepas mangsa yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental itu ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 8:24 AM