BOMBA memeriksa rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memeriksa rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Asrol Awang


Kuantan: Seorang bapa maut, manakala anak lelakinya melecur dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, dekat sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 malam.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.08 malam.

Katanya, tiga kenderaan iaitu dua jentera FRT dan sebuah jentera tangki air digunakan dalam operasi pemadaman.

"Kebakaran ini membabitkan sebuah rumah teres dan anggaran kemusnahan rumah 50 peratus.

"Kejadian ini menyebabkan seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian tangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan operasi terkawal pada 11.57 malam.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 8:01 AM