PANGSAPURI Exora Kota Damansara yang dipasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan. FOTO Eizairi Shamsudin.
PANGSAPURI Exora Kota Damansara yang dipasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan. FOTO Eizairi Shamsudin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2022 terus dirasai apabila lebih 5,000 Jalur Gemilang dan bendera pelbagai negeri menghiasi lima blok di Pangsapuri Exora, Kota Damansara, di sini.

Hiasan bendera adalah tradisi pengurusan pangsapuri berkenaan sejak 2019 bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan antara penghuni pangsapuri berkenaan.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Exora, Mohd Nur Syafiq Saruji, 35 berkata, penghuni di 160 unit kediaman pangsapuri terbabit bersama-sama membuat kutipan untuk membeli bendera.

"Ini adalah tradisi penghuni di sini yang sentiasa bermuafakat dalam satu-satu acara secara tidak langsung memupuk semangat patriotisme kepada golongan muda.

"Kos keseluruhan bagi pembelian, hiasan dan pemasangan bendera dianggarkan bernilai RM3,000," katanya kepada Harian Metro.

PENDUDUK Pangsapuri Ixora Kota Damansara memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan. FOTO Eizairi Shamsudin
PENDUDUK Pangsapuri Ixora Kota Damansara memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan. FOTO Eizairi Shamsudin

Menurutnya, penghuni merancang untuk menggantung Jalur Gemilang di blok kediaman sejak bulan lalu dengan mengutip dana dalam kalangan mereka, malah ada juga yang mencari penaja untuk mencantikkan blok.

"Penghuni mula menghiaskan blok mereka sejak awal Ogos dan proses berkenaan masih berlangsung sehingga kini dan bendera akan terus berkibar hingga Hari Malaysia.

"Selain dapat mewujudkan semangat kerjasama, aktiviti sebegini juga dapat menyemai semangat patriotik dalam diri penghuni," katanya.

Katanya, pangsapuri berkenaan juga memasuki tiga pertandingan menghias blok antaranya yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan Penduduk Seksyen 7, Kota Damansara.

"Tahun lalu, kami berjaya menjadi Johan pertandingan berkenaan dan berharap dapat mengekalkan kemenangan, sekali gus memberi semangat kepada penduduk dan terus bekerjasama dalam setiap acara yang dianjurkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 6:10 PM