JALUR Gemilang dipasang di sepanjang Jalan Kuching di ibu kota bersempena sambutan bulan kemerdekaan. FOTO ASYRAF HAMZAH
JALUR Gemilang dipasang di sepanjang Jalan Kuching di ibu kota bersempena sambutan bulan kemerdekaan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Oleh Aqil Sharullizam


Kuala Lumpur: Persediaan sambutan Hari Merdeka di ibu negara ketika ini boleh dikatakan belum cukup meriah.

Tinjauan Harian Metro di premis kediaman dan perniagaan mendapati, pemasangan Jalur Gemilang sudah mula dilakukan namun banyak tertumpu di kawasan jalan utama masuk ke pusat bandar.

Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Kuching antara kawasan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang. Namun, pemasangan Jalur Gemilang ini masih dilihat kurang memberangsangkan, terutama di premis kediaman.

Penolong Penyelia K Hotel Kuala Lumpur Vimalawati Poobalan, 34, berkata, aktiviti pemasangan Jalur Gemilang dijangka lebih meriah minggu hadapan.

"Setakat ini, saya lihat ada banyak juga premis perniagaan yang sudah memasang Jalur Gemilang," katanya.

Pengurus jualan dan pemasaran, Shamilluddin Sallahudin, 25, berpendapat bahawa persediaan sambutan kemerdekaan tahun ini dilihat kurang dirasakan.

"Walaupun sudah memasuki bulan kemerdekaan, namun kemeriahan sambutan tidak seperti tahun sebelum ini.

"Kibaran Jalur Gemilang ini tidak wajar dilakukan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja. Jalur Gemilang adalah simbol perpaduan, maka kita perlu sentiasa mengibarkannya," katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kerinchi, Lembah Pantai Rahim Ahmad, 64, sambutan bulan kemerdekaan masih tetap dirasai walaupun kali ini, ia jatuh pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Di kawasan PPR, kami selaku jawatankuasa penduduk sudah melakukan perancangan untuk memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan. Perancangan program akan tertumpu pada malam ambang merdeka nanti.

"Saya juga berharap supaya sambutan kali ini dapat disambut dengan lebih meriah," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Sharifah Nursyahidah Syed Annuar berpandangan, Jalur Gemilang perlu dikibar pada setiap masa.

"Ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya anak muda secara konsisten tentang kemerdekaan negara, semangat patriotisme dan sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 9:44 AM