MASITAH (kanan) bersama penduduk Blok I, PPR Gua Musang bergotong-royong menjaga tanaman di hadapan blok kediaman mereka.
MASITAH (kanan) bersama penduduk Blok I, PPR Gua Musang bergotong-royong menjaga tanaman di hadapan blok kediaman mereka.
Paya Linda Yahya


MESKIPUN tinggal di kawasan perumahan bertingkat, hobi penghuni

Blok I, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Kelantan dalam menanam pelbagai jenis pokok bunga tetap diteruskan di kawasan tanah sekitar blok terbabit.

Tinggal di kawasan rumah bertingkat tidak memungkinkan mereka untuk meletakkan sebarang pokok di kawasan pejalan kaki perumahan itu.

Namun, ia tidak menghalang minat golongan itu dengan mengabadikan hobi sejak sekian lama dengan menanam hampir 100 pokok bunga hiasan.

Menurut Masitah Ahmad, 46, dia tidak kisah berhabis duit sendiri untuk membeli pokok bunga hiasan untuk ditanam sekitar Blok I itu.

"Ini kerana saya minat menanam pokok bunga dan saya tidak kisah mengeluarkan wang sendiri bagi membeli anak pokok yang saya suka.

"Ada juga anak pokok yang dibeli dengan mengumpul duit dalam kalangan kami penghuni Blok I.

"Ada hampir 100 pokok bunga hiasan ditanam di sekitar blok ini antaranya bunga kertas, ros Jepun, pokok keladi dan tanduk rusa.

"Kami gembira apabila dapat melakukan aktiviti ini bersama-sama selain berkongsi minat sama," katanya.

Aktiviti yang dilakukan setiap petang secara bergotong-royong itu secara tidak langsung mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk.

MASITAH melakukan rutin menyiram pakok bunga hiasan di hadapan Blok I, PPR Gua Musang pada waktu pagi dan petang.
MASITAH melakukan rutin menyiram pakok bunga hiasan di hadapan Blok I, PPR Gua Musang pada waktu pagi dan petang.

Masitah berkata, setiap petang dia bersama beberapa penduduk akan turun dan melakukan aktiviti menjaga pokok yang ditanam.

"Setiap hari saya mengambil tugas menyiram pokok bunga di hadapan blok ini dan bergotong-royong menjaga keadaan pokok supaya sentiasa baik.

"Antara yang kami lakukan bersama termasuk membuang daun yang rosak dan mencabut rumput liar yang tumbuh di sekitar pokok yang ditanam," katanya.

Tambahnya, lagi aktiviti menanam pokok bunga hiasan menjadi terapi bagi dirinya selepas penat berkerja.

"Saya suka tengok pokok bunga hiasan yang pelbagai warna, menjadikan saya lebih gembira apabila melihat bunganya yang berkembang seperti bunga ros dan ros Jepun serta bunga kertas.

"Pokok yang berdaun hijau pula memberikan kita 'mood' tenang apabila melihatnya," katanya.

Manakala seorang lagi penduduk, Wan Rodiah Wan Musa, 51, berkata,

aktiviti penduduk di Blok I, PPR Gua Musang itu tidak hanya tertumpu kepada menanam pokok bunga hiasan, tetapi penduduk juga sentiasa bekerjasama menjaga kebersihan blok terbabit.

LANDSKAP menarik dan tempat riadah penduduk.
LANDSKAP menarik dan tempat riadah penduduk.

"Setiap dua minggu sekali penduduk bergotong-royong membersihkan blok ini bagi memastikan ia sentiasa bersih selain memberi peluang untuk kami bertemu mata.

"Walaupun blok ini terdiri daripada pelbagai kaum, namun setiap aktiviti atau program yang dianjurkan pasti mendapat kerjasama dan sokongan semua penduduk," katanya.

Hasil kerjasama daripada lebih 200 penduduk itu, blok terbabit pernah dinobatkan sebagai Blok Paling Bersih dan Blok Tercantik.

Selain menjadi johan pada pertandingan hiasan antara blok sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu.

Wan Rodiah berkata, dia sangat gembira apabila berada dalam komuniti saling bekerjasama dan menyokong setiap aktiviti yang diadakan di blok terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 6:20 AM