KANAK-KANAK membantu keluarganya membersihkan lumpur di rumah mereka di Yan Kechil, di sini yang ditenggelami banjir akibat kepala air di Gunung Jerai. FOTO Luqman Hakim Zubir.
KANAK-KANAK membantu keluarganya membersihkan lumpur di rumah mereka di Yan Kechil, di sini yang ditenggelami banjir akibat kepala air di Gunung Jerai. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Izad Thaqif Hassan


Yan: Pihak berkuasa tidak mengesan individu yang sedang menjalani kuarantin Covid-19 didakwa memotong gelang merah jambu dan berkeliaran sekitar daerah ini selepas berlakunya bencana akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan.

"Pengawasan daripada pihak berkuasa mendapati semua mereka (penduduk dikuarantin) berada di kediaman masing-masing, namun kita akan terus memantau dan mengawal situasi bersama agensi lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 28 kes positif Covid-19 dikenal pasti di kawasan banjir sekitar daerah ini dengan 49 orang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan ada individu yang menjalani HSO mengambil kesempatan dengan memotong gelang merah jambu dan berkeliaran ketika semua pihak sibuk mengurus banjir akibat kepala air dari Gunung Jerai.

Sementara itu, penduduk ditemui sibuk mencuci sisa banjir di kediaman masing-masing selepas banjir surut hari ini, termasuk Siti Sharena Shukor, 30, yang tinggal di Kampung Titi Bakong, di sini.

Pekerja kilang itu berkata, dia bersama ibu saudara dan sepupu tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan kerana sedang tidur ketika air memasuki rumahnya mulai 4 petang.

"Keadaan kelam kabut ketika itu dan tidak sampai 30 minit, air sudah paras dada. Banjir kali ini sangat dahsyat," katanya yang memberitahu arus deras tanpa sebarang 'petanda' menyebabkan mereka tidak berbuat apa-apa melainkan segera menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 5:20 PM