13 warga Myanmar membeli barang stok makanan untuk kuarantin di rumah selepas dipakaikan gelang putih dipantau angota polis dan KKM. FOTO ihsan POLIS
13 warga Myanmar membeli barang stok makanan untuk kuarantin di rumah selepas dipakaikan gelang putih dipantau angota polis dan KKM. FOTO ihsan POLIS
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Warga asing yang didakwa ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) apabila keluar membeli barangan di kedai runcit di Taman kota Jaya di sini, semalam disahkan memakai gelang putih dan baru selesai menjalani ujian saringan Covid-19.

Tindakan 13 warga Myanmar itu yang terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai tindakan kumpulan warga asing terbabit.

Menurutnya, rondaan segera dilakukan pasukan pemantauan Task Force Covid-19 Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Tinggi bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi terbabit sebelum mengesan mereka di sekitar kawasan rumah kedai di kawasan taman berkenaan.

Katanya, kesemua mereka itu didapati baru diarahkan menjalani HSO dan berada di kawasan berkenaan selepas selesai menjalani ujian calitan berkaitan Kluster Jalan Lombong sebelum dipakaikan gelang kuarantin oleh pihak KKM.

"Warga asing berkenaan sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan mereka ke kedai runcit berdekatan untuk membeli barangan sebagai persiapan untuk tujuan kuarantin sebelum diarahkan balik ke rumah masing-masing.

"Pasukan pemantau kemudiannya mengarahkan kesemua HSO berkaitan Kluster Jalan Lombong itu untuk terus ke alamat kuarantin," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Polis Daerah Kota Tinggi.

Menurutnya, tiada kompaun dikeluarkan kepada semua HSO terbabit. Pasukan pemantau sudah memberi penerangan dan penjelasan kepada mereka itu.

Katanya, kesemua HSO itu diarahkan balik ke lokasi kuarantin masing-masing mendapatkan bekalan makanan yang diperlukan.

"Pihak polis mengucapkan terima kasih atas maklumat orang awam dan sangat mengalu-alukannya dalam usaha bersama memastikan komuniti terus berada dalam keadaan yang terbaik," katanya.

Menurutnya, sebarang aduan mengenai ketidakpatuhan SOP PKP boleh disalurkan melalui talian Pusat Kawalan Daerah di talian, 07-8837222.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 12:05 PM