GAMBAR yang tular di FB. FOTO ihsan polis
GAMBAR yang tular di FB. FOTO ihsan polis
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Lelaki berusia 69 tahun membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, tengah hari tadi selepas gambarnya mengisi minyak memakai gelang merah jambu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pada jam 9.54 pagi semalam, pengadu dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk memotong gelang merah jambu selepas selesai menjalani proses kuarantin Covid-19 di rumahnya di Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Katanya, pengadu berhenti mengisi minyak di stesen minyak di Masjid Tanah dan kemudiannya terus ke HAG untuk memotong gelang berkenaan.

"Bagaimanapun pada hari ini semasa pengadu berada di rumah, anaknya memberitahu ada pihak menularkan gambar pengadu di Facebook (FB) semasa sedang mengisi minyak.

"Sehubungan itu, pengadu menafikan apa yang ditularkan kerana pada ketika itu, dia mahu ke hospital selain berhenti kerana keretanya kehabisan minyak," katanya hari ini.

Beliau berkata, tujuan pengadu membuat laporan polis supaya pihak berkenaan memadamkan gambarnya yang ditularkan.

Arshad berkata, siasatan mendapati pengadu menjalani ujian calitan dan diarahkan menjalani kuarantin bermula 13 hingga 23 Januari di kediamannya.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati stesen minyak berkenaan lokasi pertama dijumpai pengadu di dalam perjalanan menghala ke HAG," katanya.

Beliau berkata, isteri dan anak perempuan pengadu turut menemaninya ke HAG namun terpaksa berhenti bagi mengisi minyak.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai tidak menularkan perkara yang tidak pasti dan sepatutnya menyalurkan maklumat kepada polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:14 PM