Mohd Roji Kawi


Kuching: Peningkatan kes penipuan e-Dagang, Love Scam dan penipuan telekomunikasi di daerah ini sejak 2020 amat membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah dalam sidang media hari ini berkata, sejumlah 271 kes dilapor tahun lalu dengan kerugian RM5.9 juta berbanding hanya 90 kes (rugi RM4.8 juta) pada 2020.

"Dalam tempoh Januari hingga 17 April tahun ini pula, sebanyak 74 kes sudah dilaporkan yang membabitkan kerugian sebanyak RM1.7 juta.

"Peningkatan yang direkodkan ini sesuatu yang membimbangkan dan polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan waspada sebelum membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga.

"Semak dahulu nombor akaun bank penerima sebelum membuat apa-apa transaksi e-Dagang," katanya yang memberitahu semakan boleh dibuat di laman http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

ASHMON menunjukkan suspek yang menjadi buruan susulan terbabit pelbagai penipuan, pada sidang media hari ini. FOTO Nadim Bokhari.
ASHMON menunjukkan suspek yang menjadi buruan susulan terbabit pelbagai penipuan, pada sidang media hari ini. FOTO Nadim Bokhari.

Mengulas lanjut, Ahsmon berkata, seramai 521 suspek dikesan melakukan penipuan itu dalam tempoh 2020 hingga April lalu, yang mana 115 dikesan pada 2020, 300 orang pada 2021 dan tahun ini 106 orang.

"Pecahan kes pula, sebanyak 11 kes Love Scam berlaku pada tahun 2020, 22 kes pada 2021 dan tahun ini sebanyak satu kes, manakala penipuan e-Dagang 21 kes pada 2020, 129 kes pada 2021 dan 14 kes tahun ini.

"Sejumlah 56 kes direkod pada tahun 2020 bagi penipuan telekomunikasi, 120 kes pada 2021 dan 59 kes tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya kini giat memburu 34 individu berusia antara 26 hingga 52 tahun, iaitu 29 lelaki dan lima wanita bagi membantu siasatan kes jenayah komersil sejak 2006 hingga 2019.

"Mereka dikehendaki kerana terbabit dalam pelbagai jenayah komersil dengan enam daripadanya melakukan kesalahan pecah amanah yang disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, manakala 28 lagi terbabit dalam kes penipuan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 5:40 PM