Mohd Roji Kawi

Kuching: Seorang bekas tentera menyangka ada perkara buruk berlaku apabila didatangi beberapa anggota polis di kediamannya di Kampung Tabuan Dayak di sini, hari ini.

Bagaimanapun Muta Nyugan, 67, menarik nafas lega apabila anggota polis terbabit memaklumkan mereka datang untuk membuat pengesahan kerana beliau antara yang disenaraikan menerima sumbangan makanan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Muta berkata, beliau yang kini tidak bekerja tinggal di rumah usang bersama anak lelakinya berusia 42 tahun yang sakit serta cucu lelakinya yang berusia 13 tahun.

"Saya tidak berpencen kerana berhenti selepas 18 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1993.

"Sejak Covid-19 melanda terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kehidupan kami semakin sukar apabila tidak dapat bekerja," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, petang ini.

Mutah berkata, beliau amat bersyukur kerana ramai pihak yang prihatin terhadap kesulitan yang mereka hadapi ketika ini.

"Saya memang tidak menyangka, polis juga datang memberi bantuan barangan keperluan harian terutamanya makanan kerana biasanya mereka datang berkaitan hal keselamatan," katanya.

Asmond mengagihkan bakul bantuan makanan kepada 6, buah keluarga sempena OP Bantu - IPD Kuching bersama pihak Rela. FOTO NADIM BOKHARI
Asmond mengagihkan bakul bantuan makanan kepada 6, buah keluarga sempena OP Bantu - IPD Kuching bersama pihak Rela. FOTO NADIM BOKHARI

Sementara itu, Ahsmon berkata, mereka menyalurkan sumbangan kepada individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 berdasarkan senarai yang dibekalkan oleh Pejabat Residen Kuching serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Hari ini kami menghantar sumbangan kepada 10 keluarga di Kampung Tabuan Dayak dan Kampung Sungai Laru.

"Esok 10 lagi keluarga di kawasan Petra Jaya dan Kampung Buntal akan menerima sumbangan menerusi Op Bantu ini, " katanya.

Katanya lagi, bantuan itu tidak terhenti setakat itu dan beliau meminta orang ramai yang menghadapi kesulitan khususnya masalah ketiadaan makanan ketika waktu sukar ini agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:50 PM