Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I (WPKL) mematahkan sindiket penyeludupan produk tembakau disyaki cerut dan beras putih di Pelabuhan Barat. FOTO IHSAN JKDM
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I (WPKL) mematahkan sindiket penyeludupan produk tembakau disyaki cerut dan beras putih di Pelabuhan Barat. FOTO IHSAN JKDM
Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Cuba seludup cerut dan beras melalui Pelabuhan Barat. Itu tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang berjaya dikesan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I (WPKL).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, semua barangan seludup itu dirampas susulan pemeriksaan pihaknya terhadap sebuah kontena pada 5 Ogos lalu.

"Siasatan mendapati semua cerut dan beras itu bernilai RM101,175 dengan jumlah cukai dianggarkan mencecah lebih RM2.6 juta," katanya.

Zazuli berkata, pihak yang juga menyeludup barangan itu membuat ikrar palsu pada dokumen dengan mendakwa kontena itu berisi barangan umum dari negara jiran.

Menurutnya, wakil syarikat perkapalan yang disoal siasat gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan itu.

"Pemeriksaan di dalam kontena itu menemui beras putih diletakkan di bahagian belakang muatan manakala pada bahagian hadapan diletakkan kotak bertutup mengandungi cerut untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Syarikat atau ejen pengimport yang terbabit dalam kes ini masih disiasat JKDM mengikut Akta Kastam 1967 iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa barang tidak berkastam atau larangan import mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM 100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM 500,000 yang mana lebih besar boleh dikenakan. Pesalah turut boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:10 PM