ANTARA beras yang dirampas susulan penahanan sebuah kontena membawa muatan beras di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, pada 3 Jun lalu.
ANTARA beras yang dirampas susulan penahanan sebuah kontena membawa muatan beras di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, pada 3 Jun lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Helah sindiket penyeludupan beras dengan mengisytiharkannya sebagai barang keperluan asas dari India terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan satu kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, 3 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata, JKDM Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) menahan kontena membawa muatan beras di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, jam 11 pagi.

"Kuantiti beras yang dirampas adalah seberat 14,150 kilogram membabitkan nilai dianggarkan sebanyak RM113,200 dengan jumlah cukai RM45,280.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas pengimportan beras dari India dengan mengikrarnya sebagai 'indian grocery' bagi mengelak daripada mengemukakan lesen import semasa pengimportan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zazuli berkata, pihaknya berjaya mengesan pihak yang terbabit dalam kegiatan itu dan menahan seorang lelaki tempatan untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati semua beras disita adalah diimport dari luar negara tanpa lesen import yang sah dan tanpa membayar cukai serta duti.

"Beras diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 5, Jadual Kedua, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Beliau berkata, perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Katanya, JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran di semua negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 1:49 PM