KAYU akasia yang dirampas Maqis di Pelabuhan Pasir Gudang, kelmarin. FOTO ihsan Maqis
KAYU akasia yang dirampas Maqis di Pelabuhan Pasir Gudang, kelmarin. FOTO ihsan Maqis
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas kayu akasia seberat 32 tan dari Vietnam di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, kelmarin.

Maqis dalam kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan dijalankan penguat kuasa jam 5.30 petang itu, sebanyak 32,090 kilogram (kg) kayu yang dianggarkan bernilai RM13,653.88 ditahan untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati nombor rujukan permit tidak tertera pada sijil fitosanitasi sebagaimana dinyatakan dalam syarat permit import.

"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2) akta sama," katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 11:08 AM