Anjing baka Pug yang ditahan MAQIS di KLIA Sepang hari ini. Foto Ihsan MAQIS
Anjing baka Pug yang ditahan MAQIS di KLIA Sepang hari ini. Foto Ihsan MAQIS
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan seekor anjing jantan baka Pug yang diimport dari Filipina kerana tidak mematuhi syarat seperti ditetapkan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan mendapati nombor mikrocip di dalam permit import (IP) yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan tidak sama dengan yang tertera pada Sijil Kesihatan Veterinar.

Menurutnya, anjing berkenaan kini ditahan di Stesen Kuarantin Haiwan KLIA untuk siasatan lanjut.

“Perbuatan mengimport anjing tanpa mematuhi syarat import yang ditetapkan adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan haiwan peliharaan yang dibawa masuk ke dalam negara agar mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi mencegah kemasukan penyakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 7:25 PM