KAYU oak putih dari Jerman yang dirampas di Pelabuhan Kuantan, Kuantan. FOTO ihsan MAQIS
KAYU oak putih dari Jerman yang dirampas di Pelabuhan Kuantan, Kuantan. FOTO ihsan MAQIS
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sejumlah 31.5 tan kayu oak putih dari Jerman di Pelabuhan Kuantan, di sini, semalam.

Maqis dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kayu oak putih yang dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan itu dirampas oleh Penguat kuasa Maqis selepas hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada jam 3.15 petang.

Katanya, barang dagangan terbabit kini ditahan untuk tindakan lanjut kerana tidak mematuhi syarat import Maqis iaitu tidak menyatakan rawatan di dalam Sijil Fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan.

"Selepas hasil pemeriksaan, kayu oak putih bernilai RM96,055.21 itu dipercayai dibawa masuk untuk pasaran Malaysia.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 15(2).

"Mengikut akta sama, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Maqis akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:47 PM