Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 85.1 tan papan lapis di sebuah pelabuhan di Pasir Gudang, di sini semalam. FOTO Ihsan MAQIS
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 85.1 tan papan lapis di sebuah pelabuhan di Pasir Gudang, di sini semalam. FOTO Ihsan MAQIS
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk papan lapis Acacia dari Vietnam di pelabuhan Pasir Gudang di sini, semalam.

Pengarah Maqis Negeri Johor, Hizzuan Hasim berkata, tindakan dilakukan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa pada 10 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati nombor rujukan permit tidak dicatatkan pada sijil fitosanitasi atau sijil yang dikeluarkan oleh negara pengeksport sebagai perakuan atau pengesahan bahawa rawatan atau keperluan-keperluan yang dinyatakan di dalam permit import dipatuhi.

"Semua papan lapis yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM108,471," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat di dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 1:24 PM