CILI merah dari China yang dirampas. FOTO Ihsan Maqis.
CILI merah dari China yang dirampas. FOTO Ihsan Maqis.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 17,000 kilogram (kg) cili besar merah yang tidak mematuhi syarat import dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, dekat sini, semalam.

Cili merah bernilai RM 71,243.60 dari China itu dibawa masuk dengan sebuah lori kontena untuk pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, ia disita selepas pemeriksaan penguat kuasa mendapati cili itu tidak mematuhi syarat import seperti yang ditetapkan dalam permit import Maqis.

"Ia tidak mempunyai Sijil Fitosanitasi dari negara asal dan gagal mematuhi penggredan, pembungkusan dan pelabelan sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil perakuan 3P.

"Kesemua cili itu disita untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori kontena, seorang lelaki tempatan berusia 40-an diambil rakaman percakapan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nur Afifah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 15(2) akta sama, yang mana jika sabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

"Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 1:32 PM