Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seramai 23 individu termasuk 12 remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mempromosikan perjudian dalam talian.

Semua tertuduh yang berusia 16 hingga 32 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mereka dituduh mempromosikan permainan judi dalam talian menggunakan set komputer pada 7 Januari lalu, dengan 13 daripadanya didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney, di sini pada 5.25 petang.

Sepuluh individu lagi didakwa melakukan kegiatan berkenaan di kondominium di Jalan Kelawai, di sini pada 6.46 petang hari sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit bersalah.

Selain itu, tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, namun 23 individu itu yang diwakili peguam Pang Chuin Keat merayu jaminan lebih rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:25 PM
Empat wanita antara 23 individu diiringi anggota polis atas pertuduhan dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO DANIAL SAAD
Empat wanita antara 23 individu diiringi anggota polis atas pertuduhan dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO DANIAL SAAD