AYOB Khan (kiri) menunjukkan komputer riba dan pelbagai barangan gadjet yang dirampaskan dalam ops judi online, ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
AYOB Khan (kiri) menunjukkan komputer riba dan pelbagai barangan gadjet yang dirampaskan dalam ops judi online, ketika sidang media di Auditorium Aras 2, IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


UNDANG-undang negara yang longgar dipercayai menyebabkan sindiket perjudian dalam talian dari China semakin berani menjadikan Malaysia sebagai pangkalan mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkara itu terbongkar apabila sindiket perjudian yang menggunakan aplikasi "Lu Yi Bao" menerima pertaruhan mencecah RM144,000 setiap hari dengan sasaran pelanggan dari China.

Katanya, kegiatan perjudian dalam talian itu berjaya ditumpaskan Bahagian Kongsi Gelap Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor yang melakukan serbuan di dua kondominium di Iskandar Puteri pada Sabtu lalu.

"Mungkin undang-undang negara kita yang longgar menyebabkan aktiviti judi dalam talian yang didalangi warga China semakin meningkat.

"Jika di China, rakyat mereka yang terbabit dalam kesalahan sebegini membawa hukuman mati.

"Seramai 18 individu termasuk seorang wanita warga China berusia 20 hingga 40 tahun ditahan bersama barang rampasan lima buah komputer riba, tiga set komputer, 42 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua modem WiFi.

"Siasatan masih dijalankan sama ada kesemua suspek yang ditahan itu menggunakan pas lawatan sosial atau permit kerja untuk bekerja di negara ini.

"Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4( 1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan dipenjara tidak lebih dari tiga tahun," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis Johor sudah melakukan 1,027 serbuan dan berjaya menangkap seramai 1,910 individu yang terbabit dalam pelbagai kegiatan perjudian dalam talian sejak Januari hingga Jun, tahun ini.

"Hasil daripada serbuan yang dijalankan, polis berjaya merampas 1,105 buah telefon bimbit, 21 tab, 61 unit komputer, 28 buah komputer riba dan wang tunai sebanyak RM604,506," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 2:46 PM