SERBUAN yang dilakukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kedah dalam operasi Op Dadu di daerah Kuala Muda. FOTO ihsan PDRM
SERBUAN yang dilakukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kedah dalam operasi Op Dadu di daerah Kuala Muda. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan empat individu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian dalam serbuan berasingan di daerah Kuala Muda, semalam.

Serbuan Op Dadu dilakukan pada 11 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner G Suresh berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia 20-an hingga 30-an.

Menurutnya, antara barangan dirampas termasuk enam telefon bimbit, tiga set komputer, sebuah komputer riba, satu unit modem dan wang tunai RM170.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini akan mempromosi dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menggunakan laman web mega888.com.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi di daerah Kuala Muda kira-kira setahun lalu dengan anggaran keuntungan diperolehi antara RM700,000 hingga RM900,000 setahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti jenayah boleh menghubungi talian 04-7326999 atau 04-7741403/1405 atau MERS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:26 PM