PASUKAN Hazmat bomba melakukan proses sanitasi di rumah wanita warga emas yang ditemui meninggal di dalam bilik air rumahnya. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN Hazmat bomba melakukan proses sanitasi di rumah wanita warga emas yang ditemui meninggal di dalam bilik air rumahnya. FOTO Ihsan Bomba
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kerisauan seorang wanita terhadap ibu saudaranya yang tinggal seorang diri selepas ahli keluarga yang lain disahkan positif Covid-19 terjawab apabila warga emas itu ditemui meninggal dunia di rumahnya, di Bukit Punggur, Alai, di sini, hari ini.

Rohana Ramli, 74, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasukan bomba di dalam bilik air rumahnya pada jam 8.55 pagi tadi.

Anak saudaranya, Norazlina Md Daut, 45, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan ibu saudaranya kira- kira jam 11 pagi semalam namun selepas itu panggilannya sudah tidak lagi dijawab pada sebelah petang sehingga malam tadi.

Katanya, Rohana atau dipanggil Mak Ngah tinggal seorang diri selepas suami dirawat di Hospital Melaka dan anak lelakinya pula kini berada di ICU hospital sama disebabkan Covid-19.

"Disebabkan bimbang keadaan Mak Ngah yang tidak dapat dihubungi dari petang hingga malam tadi, saya kemudian terus membuat panggilan kecemasan pagi tadi meminta bantuan untuk memeriksa keadaannya.

"Tidak sangka ini berlaku, sekarang ini hanya anak sulungnya yang berada di Selangor sudah dimaklumkan pemergian ibunya," katanya.

Menurutnya, selain suami serta anak bongsu Rohana, turut disahkan positif Covid-19 adalah menantu serta dua cucu yang kini sedang dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MITC, Ayer Keroh.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bergegas ke lokasi kejadian.

"Bomba terpaksa memecahkan pintu memandangkan ia terkunci sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pegawai perubatan yang hadir kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 6:42 PM