AHLI keluarga dan penduduk kampung mengangkat jenazah mangsa.
AHLI keluarga dan penduduk kampung mengangkat jenazah mangsa.
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan pilu ketika upacara pengebumian.
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan pilu ketika upacara pengebumian.
Salman Hamat dan Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang daripada dua mangsa yang parah dikelar anak angkat ibu saudara mereka di Kampung Bertam Malim di sini, jam 6 pagi kelmarin, dilaporkan sedarkan diri selepas menjalani pembedahan.

Untuk rekod, mangsa yang parah ialah Noor Hazlinda Hassan, 26, dan adiknya, Nuraqedah Aeina, 24.

Sepupu kedua-dua mangsa, Mohd Qabir Abd Rahman, 21, ketika ditemui mengesahkan Nuraqedah Aeina sudah sedarkan diri pagi semalam.

“Bapa saudara saya ke Hospital Melaka pagi tadi (semalam) dan sempat melihat Qeda (Nuraqedah Aeina), dia sudah sedarkan diri selepas kira-kira lapan jam keluar daripada dewan bedah.

“Namun, kak Linda (Noor Hazlinda) masih belum sedarkan diri dan baru keluar daripada dewan bedah pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui pada pengebumian sepupu lelakinya, ibu dan bapa saudaranya di Tanah Perkuburan Islam Bertam Malim, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din mengesahkan senjata digunakan suspek dalam pembunuhan kejam itu ditemui ketika lelaki terbabit ditahan di Masjid Al-Falah, Bukit Rambai, jam 11 pagi kelmarin.

“Pemeriksaan menemui senjata digunakan suspek iaitu pisau pemotong daging. Saya juga sahkan suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ramli, suspek kini direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:37 AM