Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Malaysia menuntut segala bukti yang ada berkaitan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal tujuh tahun lalu, didedahkan kepada umum.

Pada masa sama, Malaysia juga menuntut supaya proses kehakiman dijalankan secara adil serta tidak dipengaruhi oleh apa jua tekanan politik bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, hari ini genap tujuh tahun pesawat MH17 ditembak jatuh dan disahkan terhempas di Donetsk, timur Ukraine.

"Malaysia sentiasa komited dan memberikan sokongan penuh dalam usaha mengheret mereka yang bertanggungjawab atas tragedi menimpa MH17 ke muka pengadilan.

"Malaysia mengulangi pendirian, pelaku yang tidak berperikemanusiaan ini perlu diheret ke muka pengadilan, bukan hanya untuk menegakkan keadilan malah sekurang-kurangnya dapat memberi ketenangan kepada ahli keluarga mangsa tragedi yang kehilangan insan tersayang.

"Malaysia yakin dan berharap pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini tidak menjadi penghalang kepada usaha menegakkan keadilan bagi membela mangsa tragedi penerbangan MH17," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, doa semua sentiasa mengiringi pemergian mangsa dan mereka yang tersayang.

"Semoga ahli keluarga dan rakan mangsa diberi kekuatan serta ketabahan sementara kami meneruskan usaha menuntut keadilan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 2:08 PM