GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia akan mengambil bahagian dalam prosiding melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaras dengan Konvensyen Chicago susulan tindakan undang-undang bersama yang dimulakan oleh kerajaan Australia dan Belanda berikutan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini, kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya terhadap proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 pada 2014.

"Kerajaan Malaysia komited untuk menuntut keadilan bagi keluarga mangsa nahas termasuk 43 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat itu," menurut kenyataan tersebut.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di utara Ukraine, mengorbankan 298 orang di dalam pesawat berkenaan.

Dilaporkan Australia dan Belanda sudah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia melalui ICAO berikutan tragedi MH17 yang ditembak jatuh.

Tindakan undang-undang oleh kedua-dua negara tersebut difailkan menerusi ICAO di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Justeru, Malaysia menggesa semua negara dan pihak yang terbabit memberi kerjasama sepenuhnya terhadap perbicaraan itu selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014).

"Proses undang-undang yang menyeluruh mesti diteruskan dalam usaha mengheret pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan demi membela mangsa nahas MH17 dan keluarga mereka," menurut kenyataan itu.

Menurut MOT, Malaysia komited untuk memastikan proses perundangan berjalan dengan telus, boleh dipercayai dan konklusif.

"Pendekatan Malaysia kekal bahawa segala kesimpulan mestilah dibuat berdasarkan bukti kukuh," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 3:20 PM