Loji penyejukan KLIA dinaik taraf dari menggunakan gas kepada penggunaan elektrik sepenuhnya. Foto Ihsan TNB
Loji penyejukan KLIA dinaik taraf dari menggunakan gas kepada penggunaan elektrik sepenuhnya. Foto Ihsan TNB
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerja menaik taraf loji penyejukan daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya dijangka dapat mengurangkan kos operasi hingga lebih RM50 juta setahun.

Syarikat usaha sama (JV) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Cooling Energy Supply Sdn Bhd (CESSB) sudah memulakan operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah KLIA pada 1 Julai lalu.

Anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) memiliki 70 peratus ekuiti dalam CESSB, manakala anak syarikat milik penuh MAHB, Airport Ventures Sdn Bhd memegang baki 30 peratus ekuiti.

CESSB ditubuhkan tahun lalu bagi membekal tenaga elektrik dan penyejukan kepada lapangan terbang terbabit.

Pengerusi TNEC Lim Fu Yen berkata, kerjasama antara TNB dan MAHB melalui CESSB menyerlahkan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

"Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang dengan ketara dan positif terhadap kepuasan pelanggan bagi penumpang-penumpang yang menggunakan KLIA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, CESSB akan menaik taraf loji sedia ada yang berkuasa gas kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya.

"Dengan itu, loji terbabit akan menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien seterusnya mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun.

"TNEC adalah pakar dalam bidang kejuruteraan sistem tenaga mampan dan peneraju dalam bidang pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah serta projek solar berskala besar dengan rekod cemerlang di Malaysia dan antarabangsa," katanya.

Di bawah perjanjian konsesi 20 tahun yang dimeterai kedua-dua pihak, CESSB akan mengendalikan, menyelenggara dan menaik taraf loji penyejukan daerah sedia ada yang merupakan antara yang terbesar di Malaysia.

Syarikat usaha sama itu juga akan menjual, mengagih dan membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan kepada pelanggan di KLIA dan sekitarnya menggunakan teknologi yang moden, efisien dan berdaya harap.

Selain menjalankan operasi dan penyelenggaraan enam loji penyejukan daerah di Malaysia, TNEC juga berjaya membina beberapa loji penyejukan daerah di Malaysia, dua di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tiga projek solar berskala besar di Malaysia.

Menerusi kepakaran kolektif dalam pengurusan tenaga, pengauditan tenaga dan solusi tenaga mampan, TNB komited dalam aspirasinya untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 12:00 PM