TNB
TNB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited membantu Ipoh mencapai impian menjadi bandar raya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030 melalui kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Kerjasama strategik itu bagi membekalkan produk dan perkhidmatan kecekapan tenaga serta solusi tenaga boleh baharu (RE) bagi mempromosikan kehidupan lestari serta hijau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, TNB menghargai kerjasama kukuh yang dibina selama ini dengan MBI.

Katanya, TNB percaya inisiatif terbaharu ini amat penting untuk membantu bandar raya Ipoh menjadi model Bandar Pintar di Malaysia menjelang 2030 sejajar dengan Hala Tuju Kelestarian syarikat utiliti itu untuk mencapai pelepasan sifar bersih 2050.

"Melalui perancangan teliti dan perkongsian kepakaran di seluruh TNB, kami yakin dapat menunaikan janji kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong kedua-dua aspek ekonomi dan kebajikan sosial penduduk Ipoh dalam mencapai Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020 hingga 2030," katanya dalam kenyataan.

Kerjasama TNB dan MBI ke arah itu bermula Januari tahun lalu melalui program Smart City Blueprint yang mana MBI, TNB dan GSPARX menandatangani SARE bagi pemasangan solar panel fotovoltaik di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Pemasangan itu siap pada Julai 2021 dengan memberi penjimatan bil elektrik hingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun.

MoU terbaru ini pula, bakal meluaskan lagi pembabitan TNB dalam membawa kehidupan lebih sejahtera kepada penduduk Bandaraya Ipoh dalam suasana lebih kondusif sejajar aspirasi TNB, Better World, Brighter Lives sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB dan MBI serta Perjanjian Bekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bersama anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX ditandatangani sempena Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik MBI, Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Walkable City 2030 baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 7:00 AM