FOTO hiasan
FOTO hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Southern Power Generation (SPG) dinobat sebagai Stesen Janakuasa Terbaik 2021 oleh 'Power Magazine', syarikat penerbitan dari Amerika Syarikat.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti berkata, anugerah itu adalah satu lagi pengiktirafan terhadap kejayaan TNB menyempurnakan projek besar dengan menggunakan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan tenaga negara.

"TNB sentiasa memilih untuk menggunakan teknologi terkini dalam projek janakuasa kami bagi menyampaikan tenaga elektrik yang selamat, berdaya harap dan mampan kepada pelanggan.

"Bagi SPG, kejayaan ini diperoleh menerusi kerjasama dan sokongan semua pemegang taruh termasuk badan kawal selia, pihak berkuasa, rakan usaha sama projek, pembiaya dan kontraktor," katanya pada kenyataan hari ini.

Power Magazine mengkhususkan kepada berita perundangan dan kawal selia serta maklumat operasi dan penyelenggaraan berkaitan industri penjanaan tenaga.

Nor Azman berkata, SPG adalah stesen janakuasa pertama yang menggunakan turbin gas General Electric (GE) 9HA.02 secara komersial.

Menurutnya, turbin itu adalah model terbaharu yang paling efisien keluaran GE yang menampilkan integrasi teknologi serta menjadi contoh kepada keseimbangan terhadap pemeliharaan alam sekitar, kemampuan dan daya harap sistem tenaga di Malaysia.

SPG yang mengendalikan dua loji janakuasa 720MW setiap satu, terletak di Pasir Gudang, Johor dan menjadi elemen penting terhadap pengukuhan kestabilan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia.

Dengan menggunakan gas asli sebagai bahan api utama, turbin kitaran gabungan 9HA.02 mampu menjana elektrik dengan kadar kecekapan melebihi 60 peratus.

Menggunakan teknologi terkini yang paling efisien, ia membolehkan TNB untuk mengurangkan tahap pelepasan yang dibebaskan loji janakuasa konvensional.

Operasi dan penyelenggaraan kedua-dua loji diuruskan Remaco, anak syarikat TNB Genco.

TNB Genco adalah anak syarikat milik penuh TNB yang membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara portfolio janakuasa TNB.

TNB dan TNB Genco memiliki pegangan ekuiti 70 peratus dalam SPG manakala SIPP Energy Sdn Bhd memiliki baki 30 peratus.

SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun.

Selain itu, Unit 1 SPG berjaya mencapai tarikh operasi komersialnya pada 1 Januari lalu manakala Unit 2 pada 19 Februari lalu.

Kedua-dua loji itu menghasilkan 1,440MW tenaga bagi meningkatkan kapasiti elektrik negara kepada 26,552.42MW.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 5:46 PM