TNB melabur dalam jumlah  besar dalam bidang RE dan menetapkan fokus kumpulan terhadap penjanaan rendah karbon.
TNB melabur dalam jumlah besar dalam bidang RE dan menetapkan fokus kumpulan terhadap penjanaan rendah karbon.

TENAGA Nasional Berhad (TNB)  menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Elia Group SA/NV (Elia), satu daripada operator sistem penghantaran terbesar dan memiliki reputasi tinggi di Eropah.

Ia bagi kerjasama strategik perkongsian amalan terbaik dan pengetahuan mendalam industri bagi mempercepatkan usaha TNB ke arah tenaga boleh baharu (RE) dan peralihan tenaga.

  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, MoU kedua atau MoU 2.0 ini dimeterai pada waktu amat penting selepas TNB melakukan penjajaran semula pertengahan penggal.

  Katanya, ia dilakukan bagi memastikan Kumpulan sentiasa berada pada landasan betul untuk menghadapi perubahan pantas dari sudut alam sekitar dan reformasi industri bekalan elektrik negara.

  "TNB melabur dalam jumlah besar dalam bidang RE dan menetapkan fokus kumpulan terhadap penjanaan rendah karbon, selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

  "TNB menerusi Bahagian Grid terus memberi keutamaan terhadap pelaburan dalam memodenkan grid kebangsaan supaya ia menjadi grid masa hadapan, iaitu grid kekal berdaya harap, berdaya tahan terhadap gangguan, pintar dengan teknologi digital serta fleksibel memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

  "Untuk itu, TNB berharap untuk memanfaatkan kepakaran Elia sebagai satu daripada lima operator sistem penghantaran terbaik di Eropah dengan tahap daya harap 99.9 peratus.

  "Ada banyak perkara boleh dikongsi Elia, terutama bagi mencapai kejayaan dalam peralihan tenaga dari sudut tenaga boleh baharu, memandangkan TNB mengintegrasikan sejumlah besar RE pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:20 AM