GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), menyediakan penyelesaian tenaga pintar kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) di Pahang melalui sumber solar, sekali gus menyumbang kepada peralihan tenaga negara.

Menurut TNB, kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) baru-baru ini untuk membolehkan GSPARX memasang sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 88.32 kilowatt puncak (kWp) di atas bumbung bangunan pentadbiran MDR tanpa kos.

Apabila pemasangan panel solar terbabit siap pada Mac 2023, MDR dijangka dapat menikmati penjimatan bil elektrik hampir RM631,000 dalam tempoh 20 tahun kontrak perjanjian dan menikmati penjimatan sebanyak RM1.03 juta dalam tempoh 25 tahun, menurut TNB dalam kenyataan pada Rabu.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata kerjasama itu adalah selaras dengan komitmen TNB dalam menyokong agenda kerajaan Malaysia untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon dengan sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.

Beliau berkata komitmen itu dipacu oleh langkah-langkah mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon dan pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga arang batu menjelang 2035, selain memperkasakan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

"Menerusi projek kerjasama bersama GSPARX, TNB melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar, selaras dengan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga di samping menjadi sebahagian daripada penyelesaian perubahan iklim," katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut TNB, pemasangan panel solar di bangunan MDR itu mampu mengurangkan kadar tahunan 83.9 tan metrik karbon dioksida iaitu bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 1,387 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.

Pada 16 September 2022, SARE berkenaan ditandatangani oleh Ketua Retail Negeri (Pahang) TNB, Rozianis Mohd Noor dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri serta Yang Dipertua MDR, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek.

Ahmad Nasim berkata pelaksanaan perjanjian itu menyumbang kepada pembangunan dan pengiktirafan MDR sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang mampan, serta menjadikan daerah Rompin sebagai Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi pada tahun-tahun mendatang di bawah Program Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM).

"Ia memberi kelebihan kepada pihak Majlis dari segi tiada keperluan bayaran pendahuluan, penjimatan bayaran bil elektrik bulanan atau tahunan, pakej perkhidmatan membabitkan pemantauan dan penyelenggaraan berjadual oleh pihak GSPARX serta sistem akan dimiliki oleh pihak Majlis selepas tempoh kontrak berakhir," katanya.

Di bawah skim panel solar fotovoltaik, Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri yang dilaksanakan kerajaan, kira-kira 300 pelanggan komersial, industri dan agensi kerajaan telah memeterai perjanjian dengan GSPARX menerusi SARE dan pembelian terus untuk menjana kira-kira 145MWp tenaga hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 1:55 PM