DR NORAINI AHMAD
DR NORAINI AHMAD
Amir Abd Hamid


Bangi: Susulan impak pandemik Covid-19, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengunjurkan 75,000 bakal graduan tahun ini mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan.

Senario itu diunjurkan berlaku dalam tempoh enam bulan selepas graduan menamatkan pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah itu adalah 25 peratus daripada 300,000 penuntut institusi pengajian tinggi tahun ini yang bakal menamatkan pengajian masing-masing.

"Justeru, berdasarkan 41,161 graduan yang belum bekerja dalam tahun 2019, serta unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan seramai 116,161 graduan perlu diberi perhatian untuk ditingkatkan lagi kebolehpasaran mereka.

"Antara ikhtiar dilaksanakan kementerian adalah dengan menyediakan kemudahan berbentuk bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Ini termasuklah inisiatif MyBrain Science, Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Kewangan pelajar orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Career Advancement Programme atau KPT-CAP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Majlis itu dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Menteri Kewangan Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB) Datuk Syed Hussian Syed Junid yang juga Pengerusi Kumpulan Western Digital.

Noraini berkata, KPT juga sudah mengemukakan cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan program MyBrain15 atas kejayaannya memberikan penajaan kepada 56,910 pelajar setakat ini.

"Kementerian turut bekerjasama rapat dengan Yayasan Tenaga Nasional bagi menyediakan pembiayaan kewangan kepada pelajar yang berkelayakan melalui program My Brighter Future (MyBF).

"Proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja turut dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi portal MyFutureJobs.

"Kementerian dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) turut memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro kepada mahasiswa bagi membantu mereka mengembang dan meningkatkan perniagaan masing-masing.

"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula akan membiayai program keusahawanan berkonsepkan mentor-mentee untuk membolehkan bimbingan secara langsung daripada usahawan yang sudah berjaya," katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, satu memorandum persefahaman akan dimeterai antara KPT dengan PUNB.

Menurutnya, untuk memudahkan bakal graduan membangunkan kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran, KPT mengambil inisiatif membangunkan portal Graduates Reference Hub for Employment and Trainingatau ringkasnya GREaT.

"Antara maklumat dan perkhidmatan yang disediakan dalam portal sehenti ini adalah seperti perkhidmatan padanan pekerjaan; permohonan untuk mengikuti program reskilling dan upskilling; permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian; perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya; e-profiling dan sebagainya.

"Kementerian yakin inisiatif seumpama ini mampu memberikan impak dan nilai tambah kepada graduan terutamanya dalam menangani isu kebolehpasaran graduan atau GE," katanya.

Menurutnya, KPT mensasarkan sekurang-kurangnya seramai 20,000 graduan akan mendapat manfaat program PENJANA KPT-CAP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 4:58 PM