TAN Sri Muhyiddin Yassin menerima buku 'Menggalas Amanah : Mencarta Hala Tuju, Memahat Kewibawaan' dari Datuk Dr. Noraini Ahmad  (kanan) pada majlis pelancaran PENJANA di UKM. FOTO Asyraf Hamzah
TAN Sri Muhyiddin Yassin menerima buku 'Menggalas Amanah : Mencarta Hala Tuju, Memahat Kewibawaan' dari Datuk Dr. Noraini Ahmad (kanan) pada majlis pelancaran PENJANA di UKM. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Bangi: Graduan menganggur perlu merebut peluang ditawarkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) bagi memberi nilai tambah kepada mereka.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program KPT-CAP itu disifatkan memberi peluang kepada graduan menambah kemahiran dan nilai kompetensi diri untuk memasuki pasaran kerja.

Beliau berkata, tidak seperti program peningkatan kemahiran lain yang dilaksanakan, program Penjana KPT-CAP adalah unik kerana graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan selepas menamatkan kursus yang ditetapkan.

"Kursus yang ditawarkan dalam program (Penjana KPT-CAP) ini direkabentuk mengikut kehendak dan keperluan ditetapkan syarikat yang bakal mengambil graduan itu sebagai pekerja mereka.

"Contohnya kursus Smart Trucker. Kandungan pengajaran dalam kursus ini direkabentuk berdasarkan kemahiran diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan 'Letter of Commitment' (LOC) kepada KPT.

"Justeru, habis sahaja tempoh kursus, graduan akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Penjana KPT-CAP di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan tawaran pekerjaan graduan oleh industri dan pelantikan pusat latihan Penjana KPT-CAP.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB) Datuk Syed Hussian Syed Junid yang juga Pengerusi Kumpulan Western Digital.

Muhyiddin berkata, beliau difahamkan graduan sudah boleh memohon program KPT-CAP ini melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training atau GREaT yang disediakan oleh KPT sejurus pelancarannya, hari ini.

"Oleh itu, saya menyeru kepada graduan yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan untuk memanfaatkan peluang bagi menambah kemahiran dan nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing," katanya.

Katanya, beliau difahamkan KPT juga sedang giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025.

"Ia bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan IPT melalui pelan tindakan itu yang akan tamat tahun ini.

"Saya berharap pelan tindakan ini berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan lengkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:12 PM