MENAMATKAN pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan saat yang diimpikan setiap graduan (gambar hiasan).
MENAMATKAN pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan saat yang diimpikan setiap graduan (gambar hiasan).
Suliati Asri


MEMEGANG gelaran 'penganggur' terutama graduan pastinya sesuatu yang cukup berat untuk dipikul.

Tambahan pula, saat itu semangat untuk mengadaptasi semua ilmu yang dipelajari sepanjang tiga hingga empat tahun bergelar pelajar, sememangnya berkobar-kobar.

Itu belum lagi mereka yang perlu mempunyai kerja bagi meringankan beban keluarga.

Namun, keadaan yang semakin mencabar, ditambah dengan penularan pandemik Covid-19 membuatkan ramai masyarakat dunia bukan saja graduan, tetapi mereka yang pernah bekerja juga kini menganggur.

Kini graduan yang menganggur diseru merebut peluang mendaftar Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) - Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP).

Ia adalah inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran.

Peserta yang mengikuti program di bawah Penjana KPT-CAP ini berpeluang untuk meningkatkan kemahiran serta mendapat penempatan pekerjaan selepas tamat program.

Graduan boleh memohon program berkenaan melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREat) yang disediakan KPT.

Menariknya, program Penjana KPT-CAP yang julung kali diperkenalkan itu unik kerana graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan selepas tamat kursus ditetapkan.

GRADUAN diseru mengikuti program Penjana KPT-CAP untuk meningkatkan kebolehpasaran serta mendapatkan kerja (gambar hiasan)..
GRADUAN diseru mengikuti program Penjana KPT-CAP untuk meningkatkan kebolehpasaran serta mendapatkan kerja (gambar hiasan)..

Pengumuman itu nyata berita gembira bukan saja buat pelajar yang masih menganggur, tetapi juga pensyarah.

Bagi pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ramada, 22, program yang dilaksanakan menerusi Penjana KPT-CAP sangat diperlukannya dan tidak akan mensia-siakan peluang itu.

Menurutnya yang berkelulusan Diploma Pengurusan Acara, tidak mendapat kerja sebaik menamatkan pengajian memberi tampatan hebat buatnya.

"Sebagai anak sulung yang baharu saja kehilangan ayah tercinta, saya mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu ibu dan empat lagi adik.

"Namun, mencari kerja kini sangat sukar kerana kebanyakan syarikat mahukan graduan yang mempunyai pengalaman serta kelulusan yang ada bersesuaian dengan jawatan yang ditawarkan.

"Jadi, dengan adanya Penjana KPT-CAP ini, ia membantu graduan terutama kami yang menganggur bukan disebabkan malas bekerja, tetapi sukar untuk mendapat pekerjaan," katanya yang kini menjalankan perniagaan sebagai dropship produk tudung dan makanan untuk membantu ibunya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Kimia Kulliyyah of Science, Kampus Kuantan Dr Nurasyikin Hamzah menyambut baik pelancaran Penjana KPT-CAP dalam usaha kerajaan untuk membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan.

Katanya, platform itu boleh menjadi batu loncatan untuk graduan mengasah bakat terpendam dan meningkatkan kualiti diri supaya sesuai dengan pasaran kerja.

"Pada pendapat saya, Penjana KPT-CAP itu mampu mengukuhkan lagi kemahiran insaniah pelajar selain memberi pendedahan mengenai dunia sebenar pekerjaan.

"Ketika di universiti, kemahiran itu sudah diterapkan secara teori dan amali, namun pelajar mungkin tidak sedar di mana perlu digunakan selagi tidak masuk dunia sebenar (dunia selepas universiti).

"Oleh itu, kepada graduan yang terpilih, guna peluang keemasan ini sebaiknya supaya apabila keluar dan mendapat pekerjaan, mereka boleh membantu golongan yang tidak berkemampuan," katanya.

Apabila program itu diumumkan kerajaan, sebagai pensyarah, Dr Nurasyikin sangat gembira kerana ia fokus pada golongan sasar.

Menurutnya, pada peringkat permulaan awal pandemik Covid-19, fokus kerajaan pada golongan gelandangan, kali ni pada golongan graduan pula.

"Menerusi cara itu, mudah bagi kerajaan dan industri mengenal pasti serta memberi peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan mereka," katanya.

Impak pandemik Covid-19 merubah pasaran kerja dunia dalam sekelip mata sahaja. Selagi vaksin belum dijumpai, sukar untuk menjangkakan kebolehpasaran graduan.

GRADUAN kini jangan malu untuk belajar perkara baharu dan keluar dari zon selesa (gambar hiasan).
GRADUAN kini jangan malu untuk belajar perkara baharu dan keluar dari zon selesa (gambar hiasan).

Oleh itu kata Dr Nurasyikin, saat ini graduan jangan malu untuk belajar perkara baharu kerana semua orang terpaksa keluar dari zon selesa.

"Ilmu ketika di universiti hanya asas untuk pelajar mempersiapkan diri melangkah ke alam pekerjaan. Selebihnya terserah pada graduan untuk mempraktikkannya atau tidak.

"Namun, kalau ada peluang menghadiri kursus jangka pendek yang berguna untuk masa hadapan, jangan lepaskan peluang.

"Capai sebanyak mungkin ilmu supaya tidak sesat sesat dipertengahan jalan. Etika diri jangan dilupakan dan dapatkan sistem sokongan yang baik," katanya.

Sebagai pensyarah yang mengajar subjek kimia, salah satu subjek kritikal di Malaysia, kerisauan mengenai pengangguran dalam kalangan graduan memang ada.

Namun Dr Nurasyikin percaya, bidang itu masih relevan kerana cabang bidang kimia ini besar.

"Nasihat saya, 'be ready, be creative.' Jangan malu untuk belajar perkara baharu. Cabar diri untuk buat perkara yang tidak pernah terpikir dalam perkara yang baik.

"Program di universiti pun sudah banyak berubah untuk seiring kehendak pasaran. Jadi, ketika di universiti, jangan terlalu fokus pada pelajaran. Aktifkan diri pada program tambahan yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 7:00 AM