ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan daun ketum dan ubat batuk yang dirampas. FOTO ihsan PPM
ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan daun ketum dan ubat batuk yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Siti Rohana Idris


Tumpat: Dua penyeludup daun ketum bertindak menghimpit dan melanggar bot pihak berkuasa dalam usaha melarikan diri ketika dikejar di Sungai Mentua, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam ketika anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor sedang melakukan rondaan sempena Op Benteng Covid.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, anggotanya bergerak ke Sungai Mentua dan mengesan buih dalam sungai yang disyaki kesan daripada pergerakan bot.

Dengan menggunakan bot ronda PAC 7, Mohd Rudzuan berkata, anggotanya menjejaki kesan buih itu dan dalam jarak 500 meter, pasukan operasi ternampak sebuah bot enjin galah yang disembunyikan di dalam semak.

"Kelihatan dua lelaki berada di dalam bot berkenaan dan sebaik anggota memperkenalkan diri, bot galah itu meluru keluar dengan laju untuk melarikan diri.

"Anggota kami mengejar dan cuba merapat bot itu tetapi pemandunya memandu dengan cara yang merbahaya tanpa mengendahkan arahan untuk berhenti.

"Secara tiba-tiba pemandu bot itu bertindak menghimpit dan melanggar Bot PAC 7 namun selepas beberapa ketika mengejar, bot enjin galah berkenaan berjaya ditahan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan masuk ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.

Menurutnya, pemeriksaan di kawasan semak menemui 11 bungkus plastik warna biru mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 110 kilogram dan 10 tong jerikin berisi cecair hitam dipercayai ubat batuk (kodein) dengan anggaran isi padu sebanyak 200 liter dan nilai keseluruhan dua rampasan itu adalah RM31,000.

Katanya, pihaknya percaya bahan terlarang itu adalah untuk diseludup masuk ke Thailand dan turut dirampas adalah bot galah serta dua unit telefon bimbit.

"Kedua lelaki berusia 20 dan 30 tahun itu adalah warga Thailand dan hasil ujian saringan mendapati mereka positif methampethamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) ADB 1952.

"Selain itu mereka juga disiasat menurut Seksyen 6(1)(c) dan 5(2) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah serta keluar masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 12:28 PM