BOT enjin galah yang terbabas selepas dikejar pihak berkuasa. FOTO Ihsan PPM.
BOT enjin galah yang terbabas selepas dikejar pihak berkuasa. FOTO Ihsan PPM.
Siti Rohana Idris


Tumpat: Cubaan seorang lelaki melarikan diri kecundang apabila bot dipandu terbabas memasuki rimbunan pokok nipah ketika dikejar pihak berkuasa di Sungai Mentua, Pengkalan Kubor, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, pemandu bot berusia sekitar 30-an yang bersembunyi di celah pokok nipah berhampiran kawasan terbabit juga berjaya ditangkap.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, hasil pemeriksaan dalam bot, pihaknya menemui 95 kilogram (kg) daun ketum dan 244 botol ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM11,940.

Menurutnya, kehadiran bot enjin galah itu disedari sepasukan anggotanya yang sedang menjalankan rondaan dalam penugasan sempena Op Pensura berhampiran Pangkalan Haram Peja, Pengkalan Kubor, di sini.

"Bot berkenaan meluncur laju dari arah jambatan Pulau Ular menuju keluar dari Sungai Mentua. Anggota kami cuba menghampiri tapi pemandu bot bertindak memecut laju serta enggan berhenti walau arahan dikeluarkan.

"Anggota mengejar bot itu dan ketika tiba berhampiran kawasan pokok nipah di kuala Sungai Mentua, pemandu bot gagal mengawal kenderaannya menyebabkannya terbabas memasuki rimbunan pokok nipah.

"Pemeriksaan terhadap bot dan kawasan sekitar menemui 10 bungkusan plastik yang mengandungi 95 kg daun ketum dan dua kotak berisi 244 botol ubat batuk dengan berat 2,296 liter," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norzaid berkata, lelaki tempatan dan barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM19,940 termasuk bot.

'Daun ketum dan ubat batuk itu dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 1:27 PM