Siti Rohana Idris


SEORANG penyeludup bertindak melanggar bot pihak berkuasa sebelum melarikan diri dengan meninggalkan sejumlah ketum yang ingin diseludup ke negara jiran.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam tadi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor yang dalam penugasan sempena Op Benteng Laut mengesan pergerakan sebuah bot enjin galah dari arah jambatan Pulau Ular, Tumpat.

Pegawai Operasi Risik 1 PPM Wilayah Tiga Inspektor Reduan Mohidin berkata, ketika anggotanya menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan, pemandunya bertindak memecut bot dan melanggar bahagian tepi kiri bot PPM.

"Pemandu bot itu kemudian menghampiri tebing sungai dan keluar dari bot sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut dalam bot galah terbabit mendapati sebanyak 25 bungkus plastik hitam mengandungi 250 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai RM17,500.

"Kita percaya daun ketum itu untuk diseludup masuk ke negara jiran disebabkan permintaan yang sangat tinggi dari negara itu," katanya kepada pemberita di markas operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, hari ini.

MOHIDIN (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dari dalam sebuah bot di Pulau Ular di sini tengah malam tadi yang dianggarkan bernilai RM17,500. FOTO Siti Rohana Idris
MOHIDIN (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dari dalam sebuah bot di Pulau Ular di sini tengah malam tadi yang dianggarkan bernilai RM17,500. FOTO Siti Rohana Idris

Reduan berkata, semua daun ketum dan bot galah yang dianggarkan bernilai RM22,500 itu dibawa ke markas operasi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Racun 1952.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, beliau berkata, pihaknya merampas 1,000 liter petrol dalam sebuah stor di pangkalan haram Zahari, Kampung Tualang, hari ini.

Reduan berkata, serbuan dibuat di premis yang tidak berkunci itu pada jam 2.30 petang dan menemui 40 tong mengandungi minyak petrol untuk diseludup ke Thailand.

"Semua petrol itu dianggarkan bernilai RM1,650 dan disimpan di stor berkenaan dan menunggu masa untuk dibawa masuk ke negara jiran.

"Modus operandi yang digunakan adalah penyeludup menggunakan kenderaan yang tidak diubahsuai dan akan mengisi petrol di stesen minyak ke dalam tong sebelum dibawa ke stor sebagai lokasi transit untuk diseludup," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 7:58 PM