DADAH yang dirampas susulan penahanan dua pengedar di sebuah kondominium di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri
DADAH yang dirampas susulan penahanan dua pengedar di sebuah kondominium di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


POLIS merampas dadah dianggarkan bernilai RM21,960 dengan penahanan dua pengedar di sebuah kondominium di Kuching, semalam.

Dalam serbuan jam 2.40 petang itu, dadah yang dirampas ialah 78 gram ketamin, 50 gram syabu dan 40 biji pil ecstacy.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Deputi Superintendan Tumar Lunya berkata, pihaknya menahan dua pengedar dadah iaitu seorang lelaki dan wanita dan merampas dadah bernilai RM21,960.

“Kedua-duanya adalah penganggur, lelaki berusia 21 tahun manakala perempuan 28 tahun,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat pihaknya menahan seorang lelaki di tepi kereta jenis Perodua Myvi di kawasan kondominium di Jalan Tun Jugah.

“Hasil penahanan suspek, kita menemui satu plastik warna hitam bertulis ‘Hammer’ yang disembunyikan dalam kompartmen bawah stereng kereta. Pemeriksaan lanjut menemui 17 paket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin seberat 8 gram, satu paket plastik lutsinar berisi 18 biji pil ecstasy.

“Susulan itu, suspek membawa pasukan serbuan ke rumahnya di Jalan Tun Jugah. Di premis itu, kita menemui 34 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat kasar 70 gram, satu paket syabu seberat kasar 50 gram, 28 biji ecstasy dalam laci almari di bilik di rumah itu,” katanya.

Katanya, pihaknya kemudian menahan seorang wanita disyaki terbabit dalam kegiatan itu di lobi premis berkenaan.

“Kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamine dan Benzo.

“Mereka ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:28 PM