SEBAHAGIAN dadah bernilai RM400,000 dirampas daripada pengedar wanita pada Isnin lalu. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN dadah bernilai RM400,000 dirampas daripada pengedar wanita pada Isnin lalu. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tokan dadah wanita yang bergiat aktif mengedar dadah di sekitar ibu kota ditahan polis dalam serbuan di Taman Danau Kota, di sini, Isnin lalu.

Wanita berusia 43 tahun itu didapati menyimpan bekalan dadah bernilai hampir RM400,000 di sebuah kondominium di Taman Ibu Kota, Setapak bagi mengelakkan kegiatannya dihidu pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, sepasukan polis dari JSJN Kuala Lumpur dan Johor menahan kereta Toyota Yaris dinaiki suspek.

"Polis menyerbu kondominium dan merampas 10 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan 0.15kg dadah jenis heroin disimpan di dalam rumah terbabit.

"Turut dirampas kereta Volkswagen, lima cincin emas, tiga rantai tangan emas, dua rantai leher emas, satu jam tangan dan wang tunai RM5,478," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, siasatan awal mendapati rumah terbabit disewa sejak empat bulan lalu dengan sewa RM1,500 sebulan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek dikesan aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

"Polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan susulan penangkapan suspek.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Keseluruhan dadah dirampas daripada suspek boleh dibekalkan kepada 11,116 penagih dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 4:07 PM