ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang dengan menahan empat individu dalam serbuan di Jalan Ritchie Off Jalan Ampang, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu terhadap sindiket berkenaan.

"Hasil risikan dilakukan, kami melancarkan operasi di Jalan Ritchie dan menahan tiga lelaki serta seorang wanita yang juga teman wanita kepada suspek utama berusia antara 23 hingga 30 tahun.

"Dalam serbuan pertama yang dijalankan di tempat letak kereta, kami menahan seorang lelaki dan menemui dadah jenis methamphetamin seberat 66.30 gram dan 50 pil erimin 5 di dalam beg dipegang suspek selain wang tunai berjumlah RM720," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shokri berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek berkenaan, pihaknya membuat serbuan kedua di sebuah rumah di lokasi sama dan menahan tiga lagi suspek.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dadah jenis methamphetamin seberat 954 gram, ganja seberat 376 gram dan 1,000 pil erimin 5 selain wang tunai berjumlah RM300.

"Nilai rampasan semua dadah berkenaan adalah RM57,630 serta sitaan wang tunai RM1,020 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM58,650.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah terbabit mampu menampung penggunaan seramai 3,842 penagih," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal dilakukan mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah dan disewa selama tiga bulan oleh salah seorang suspek dengan bayaran sewa RM2,800 sebulan.

"Hasil saringan awal urin dilakukan mendapati keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin dan mempunyai rekod berkaitan dadah serta jenayah," katanya.

Menurutnya, semua suspek direman selama tujuh hari hingga 31 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan tangkapan ini, kami berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 1:02 PM