DADAH yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap sepasang kekasih di tempat letak kereta sebuah residensi Jalan Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan PDRM
DADAH yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap sepasang kekasih di tempat letak kereta sebuah residensi Jalan Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sepasang kekasih ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di parkir sebuah residensi Jalan Metro Pudu, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menjalankan serbuan di lokasi berkenaan jam 3.50 petang.

"Dalam operasi itu, kami menahan sepasang kekasih masing-masing berusia 35 dan 19 tahun di dalam kereta Toyota Vios di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, kami menemukan dadah disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 0.46 kilogram (kg), cecair MDMA seberat 1.8 liter dan wang tunai RM650," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shokri berkata, hasil siasatan dilakukan membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah residensi di Taman Mastiara, di sini.

"Kami merampas ketamin seberat 5.19 kg, serbuk MDMA (0.33 kg), cecair MDMA (11.25 liter), pil ekstasi (52 biji) dan pil erimin 5 (34 biji).

"Jumlah keseluruhan nilai dadah dan wang tunai yang dirampas dalam kedua-dua serbuan berkenaan adalah RM334,533. Rampasan dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 6,124 penagih.

"Siasatan awal mendapati rumah itu disewa sejak empat bulan lalu oleh suspek dengan bayaran sewa RM1,800 sebulan," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Jun nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dengan tangkapan ini, kami berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi pasangan kekasih berkenaan yang dikesan aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 3:19 PM