BUIH memenuhi kolam air pancut selepas serbuk pencuci ditabur ke dalamnya. FOTO ihsan pembaca
BUIH memenuhi kolam air pancut selepas serbuk pencuci ditabur ke dalamnya. FOTO ihsan pembaca
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis mengenal pasti dua suspek yang melakukan perbuatan khianat dengan menabur serbuk pencuci di dalam kolam air pancut di Tebingan Kuching, 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang daripada dua suspek lelaki itu dipercayai warga asing.

Menurutnya, usaha sedang dijalankan bagi menjejaki dua lelaki terbabit yang dianggarkan berusia 30-an.

"Polis menerima dua laporan berhubung perbuatan vandalisme yang mencetuskankebimbangan orang ramai yang terkejut melihat buih memenuhi kolam air pancut di lokasi tumpuan ramai di pusat bandar raya itu.

"Susulan laporan itu, polis kini sedang menjejaki dua suspek itu," katanya pada sidang media bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Berikutan perbuatan itu, kolam berkenaan dipenuhi buih dan menyebabkan beberapa peralatan air pancut itu mengalami kerosakan.

Sehubungan itu, beliau turut meminta kerjasama orang yang mempunyai maklumat berhubung kejadian 'pesta buih' itu agar menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.

ABDUL Rahman (kanan) dan Ahsmon (kiri) ketika sidang media . FOTO Nadim Bokhari
ABDUL Rahman (kanan) dan Ahsmon (kiri) ketika sidang media . FOTO Nadim Bokhari

Sementara itu, Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Bertanggungjawab Terhadap Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkata, perbuatan vandalisme terhadap pelbagai kemudahan di bandar raya ini menyebabkan DBKU menanggung kerugian RM332,000 sejak 2020 hingga Mei 2022.

"Antara perbuatan vandalisme yang berlaku termasuk menabur serbuk pencuci ke dalam air pancut, memusnahkan penutup parit, papan tanda jalan, tempat duduk dan bumbung perhentian bas, lampu taman, lampu jalan, pokok dibakar, bangku di taman awam, tong sampah dibakar, kecurian bunga dan hiasan.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab itu amat merisaukan kerana menjejas keindahan persekitaran bandar raya Kuching," katanya.

Sehubungan itu katanya, perjumpaan khas antara pihak DBKU, pihak polis, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan pihak Dayacop Security diadakan bagi membincangkan dan mencapai kesepakatan dalam menangani isu vandalisme di kawasan yang menjadi sasaran utama pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 4:19 PM